Sekadar Gamar hiasan |
ADA sesuatu tentang dia yang gagal saya kesan meski pun telah berkenalan bertahun-tahun lamanya. Zahirnya perkahwinan kami nampak bahagia di pandangan keluarga dan sahabat handai.
Tapi di sebalik senyuman manis dan kebahagiaAn itu, terselit duka yang akhirnya membawa kepada penceraian.
Sukar dinyatakan puncanya, perkahwinan yang berusia setahun lebih yang cuba dipertahankan akhirnya kecundang jua.
Saya dan suami membina hubungan atas dasar cinta yang membawa kami ke gerbang perkahwinan.
Namun, saya tidak menyangka suami tidak dapat menjalankan kewajipan dengan sempurna.
Sebagai isterinya yang sah saya tidak pernah menerima hak batin yang sepatutnya dia berikan.
Kesibukan tugas si suami sering kali diberikan alasan, dan hampir enam bulan berumah tangga, saya masih belum disentuhnya.
Hanya doa dan air mata, penguat semangat. Kehidupan kami sebagai suami isteri seolah-olah ‘berpura-pura’.
Kelihatan bahagia di depan orang, sedangkan asing di rumah sendiri. Sering kali apabila ditanya, bila akan menimang zuriat saya hanya tersenyum kelat.
Saya hanya mampu memberikan jawapan, rezeki belum tiba lagi. Hanya ALLAH SWT memahami apa yang saya rasakan. Kepada keluarga kedua belah pihak, saya cuba rahsiakan. Bimbang mengaibkan suami.
Pada awalnya, saya memikirkan yang suami mempunyai masalah kesihatan dan sebab itu dia seringkali mengelak dengan memberi pelbagai alasan. Oleh sebab itu,
saya cuba mencari alternatif sendiri dengan mendapatkan khidmat ustaz yang boleh merawat.
Saya juga berusaha membawa suami mendapatkan nasihat doktor pakar. Namun, ikhtiar saya mendapat reaksi negatif suami.
Pelbagai alasan diberikan. Akhirnya, segala usaha hanya sia-sia. Suami mula berubah tingkah laku. Dia tidak pulang ke rumah dengan alasan kerja lebih masa.
Pembohongan demi pembohongan, katanya kursus sana sini. Alasan yang kadang kala tidak masuk akal. Saya mula hilang sabar.
Penat dengan kerenah dia yang tidak cuba menyelesaikan masalah, sebaliknya mengusutkan lagi keadaan kami.
Setahun lebih memandam perasaan, saya nekad ke pejabat agama. Sesi kaunseling antara kami diharapkan dapat menyelamatkan hubungan.
Sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya, dia bernafsu terhadap lelaki. Saya akhirnya redha. Puas saya berusaha, tapi ini balasannya. Mungkin perkahwinan ini tiada ertinya bagi dia lagi.
Akhirnya saya nekad bercerai. Jika diteruskan lagi, hidup saya akan lebih derita.
Mia, 30, Selangor
Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah.
Tuntutan-tuntutan itu ialah, tuntutan mutaah, tuntutan nafkah eddah, tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak), tuntuan nafkah anak, tuntutan harta sepencarian dan tunggakan hutang.
Bagaimanapun, tuntutan tuntutan ini tertakluk kepada syarat dan kebenaran Mahkamah Syariah selepas melalui prosedur tertentu yang ditetapkan mahkamah.
Si isteri boleh membuat rujukan kepada pihak-pihak sepatutnya untuk mendapatkan maklumat dan prosedur permohonan, sama ada menerusi lantikan peguam atau ke pejabat ugama berdekatan.
Dalam hal puan tadi, yang mana mempunyai suami yang cenderung kepada lelaki dan tidak mampu memberikan nafkah batin kepada si isteri, isteri wajar meminta cerai.
Sekiranya suami setuju cerai cara biasa tidak ada masalah bagi kedua-dua pihak. Namun, sekiranya suami tidak setuju menceraikan isteri, isteri boleh membuat permohonan fasakh di mahkamah.
Dan alasan itu (suami tidak pernah sentuh) adalah alasan kukuh untuk mahkamah membenarkan permohonan cerai.
Dari segi tuntutan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira mengenai tuntutan apakah yang boleh dibuat isteri.
Dalam kes ini, isteri yang tidak disentuh suami bererti masih anak dara. Oleh yang demikian isteri tidak mempunyai tempoh edah ketika bercerai.
Isteri tidak perlu menjalani edah selama tempoh tiga bulan seperti disyariatkan agama sebaliknya bebas dinikahi pada bila-bila masa selepas bercerai.
Isteri boleh membuat tuntutan mutaah atau saguhati perkahwinan daripada suami. Dan sekiranya dalam tempoh selama perkahwinan suami tidak pernah memberi nafkah kepada isteri, isteri boleh menuntut nafkah tertunggak daripada bekas suami melalui mahkamah.
Begitu juga dengan soal harta sepencarian. Isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian daripada suami.
APA KATA PAKAR,
Datuk Amli Embong, Peguam Syarie
No comments:
Post a Comment