29 August 2013

KHATIB JELASKAN ISU CIUM MULUT DI KEDAH


 
KHATIB JELASKAN ISU CIUM MULUT DI KEDAH | PENDANG – Video adegan jemaah cium mulut khatib sebaik selesai membaca khutbah Hari Raya Aidilfitri di sebuah masjid yang dikatakan berlaku di Daerah Pendang tersebar luas melalui laman sosial baru-baru ini.
Penyebaran video itu mengejutkan ramai pihak malah ada yang menyifatkan perbuatan tersebut dilakukan oleh golongan fahaman Syiah. Kelakuan yang dirakamkan dilihat pelik apabila beberapa jemaah meluru dan menunggu di belakang khatib.
 
Video berdurasi 2:02 itu mendapati beberapa jemaah bertindak meluru ke arah mimbar ketika khatib sedang membaca khutbah dan diakhiri video itu dikatakan seorang jemaah terbabit bertindak mencium mulut khatib berkenaan sebaik sahaja selesai berkhutbah.
Justeru itu, Sinar Harian berusaha mencari khatib yang dimaksudkan dalam video itu dan difahamkan kejadian itu berlaku di Masjid Ar-Rahman Kampung Paya Kerchut Pendang.
Imam Masjid Ar-Rahman Kampung Paya Kerchut, Mokhtar Mohamad kelihatan tenang ketika Sinar Harian memperkenalkan diri dan menjelaskan bahawa dakwaan laman sosial mengatakan seorang jemaah bertindak mencium mulutnya adalah tidak benar.
“Adegan cium mulut sama sekali tidak berlaku dan saya rasa sudut kamera ketika video itu direkodkan menampakkan seolah jemaah itu mencium mulut saya.
 
“Pada hakikatnya, jemaah meluru dan menunggu di belakang saya bertujuan untuk bersalam, memeluk dan berlaga pipi sahaja,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di masjid itu semalam.
 
Jelasnya, bersalaman, memeluk dan berlaga pipi merupakan perkara yang sering dilakukan dalam kariah ini sejak puluhan tahun dahulu.
“Budaya ini menjadi keseronokan pada hari raya bagi anak kariah masjid ini dan satu kegembiraan bagi anak kariah pertama yang dapat bersalaman dan memeluk imam menyebabkan mereka berebut datang ke hadapan.
 
“Ada golongan menyifatkan perbuatan tersebut adalah amalan Syiah namun selama 13 tahun saya menjadi imam masjid ini mendapati tiada pengikut Syiah dalam kariah ini,” katanya.
Mokhtar berkata, budaya memeluk, berlaga pipi sering dilakukan oleh anak kariah terdiri daripada anak murid, saudara-mara dan kenalan rapat.
 
Katanya, dua jemaah yang tunggu meluru ke arah mimbar adalah jirannya dan merupakan anak kariah yang sering datang ke masjid melakukan solat secara berjemaah.
Sementara itu, katanya, beliau juga telah mengumumkan permohonan maaf ketika solat Jumaat lepas di masjid itu daripada seorang jirannya yang memuat turunkan video tersebut.
“Jiran saya yang menetap di Putrajaya dan pulang berhari raya telah memuat turunkan video itu namun dia memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon bahawa tidak berniat untuk menjadikan perkara yang berlaku sekarang.
 
“Dia juga minta maaf kepada saya dan minta saya yang dipanggilnya Pak Long agar membuat pengumuman di masjid menjelaskan perkara sebenar kepada anak-anak kariah,” katanya.
 
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul ketika dihubungi berkata dia telah mengetahui perkara itu dan menjelaskan budaya berpeluk dan mencium imam adalah perkara biasa bagi penduduk kampung di situ.
“Saya orang kampung ini dan ketika kejadian saya ada dalam masjid itu. Budaya peluk, cium dengan imam adalah kebiasaan di sini. Cerita cium mulut tak benar,” katanya.
Sumber - Sinar Harian

No comments:

:D